Khamis, 17 Februari 2011

Menjelang PRU 13, Pakatan harap kesan positif revolusi Arab


Sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008, parti-parti pembangkang yang kini membentuk Pakatan Rakyat bersatu dalam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil.

Dikenali dengan nama popularnya Bersih, satu perhimpunan besar-besaran berjaya diadakan pada Sabtu, 10 November, 2007 di tengah bandar Kuala Lumpur.

Perhimpunan yang digerakkan oleh PAS, DAP, PKR dan pertubuhan bukan kerajaan itu menjadi perhimpunan yang paling besar sejak protes reformasi pada 1998, dengan kehadiran dilaporkan sehingga 30,000.

Perhimpunan besar itu membina satu sentimen sokongan kepada parti-parti pembangkang yang disaksikan kesannya pada pilihan raya umum tahun berikutnya, yang diraikan sebagai “tsunami politik.”

Kini, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, Pakatan memperoleh satu peluang untuk membentuk sentimen menentang parti pemerintah melalui suasana kebangkitan rakyat di rantau Asia Barat.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan mengulas kebangkitan di Mesir dan Tunisia menggesa kerajaan Barisan Nasional mengambil iktibar daripada peristiwa itu.

Abdul Hadi menggesa kerajaan BN mengambil langkah membebaskan media dan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi membenarkan persaingan yang adil dalam proses demokrasi.

Presiden PAS itu mengaitkan apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia sebagai berpunca daripada sikap pemerintah yang bersikap kuku besi.

Kaitan antara rejim yang lama memerintah dan menafikan banyak hak rakyat mudah untuk dikaitkan dengan pemerintahan Umno dan BN di negara ini.

Sejak bermula kebangkitan di Tunisia Disember tahun lalu, ramai pihak, sama ada ahli politik mahupun pemerhati politik dan penulis blog mula mengulas isu tersebut, dengan memberi perhatian pada sikap kerajaan yang akhirnya membawa kepada akibat yang disaksikan.

Artikel-artikel di blog dan akhbar parti-parti Pakatan menimbulkan persoalan sama ada hal yang sama boleh berlaku di Malaysia, dengan membuat analogi beberapa isu.

Turut menjadi perhatian popular ialah peranan isteri Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali, Leila Trabelsi yang dikatakan gila kuasa dan kemewahan hingga akhirnya membawa kepada kemarahan rakyat Tunisia.

Perwatakan dan sikap Leila dikaitkan dengan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Datin Seri Rosmah Mansor yang digelar “wanita pertama.”

Penulis Dr Faisal Tehrani dalam kolumnya di akhbar politik Kabar memainkan kaitan ini menerusi tulisannya.

“Sebuah kerajaan boleh jatuh hanya dengan satu tamparan di pipi seorang penjual buah, dan seorang isteri pemimpin yang kerap berbelanja di luar negara,” tulis Faisal.

Tulisnya lagi, kisah Leila itu hampir sama dengan “isteri pemimpin yang melawat Arab Saudi selama tiga hari bermula 8 Januari, pulang ke tanahair untuk menghadiri majlis perkahwinan kenamaan di Sarawak, lalu ‘Si Leila’ terbang semula ke Asia Barat menyambung ‘urusan pertubuhannya’ selama empat hari di Oman.”

Persamaan-persamaan menarik itu mencetuskan suasana yang negatif bagi pemerintah BN ketika ini, ekoran mudahnya sentimen antikerajaan di Asia Barat itu dibina di sini.

Parti-parti Pakatan kini mengambil peluang perkembangan di Asia Barat dengan mengutarakan persoalan-persoalan demokrasi dan kebebasan yang disekat di negara ini.

Dalam majlis kecil dan besar, Pakatan terus mengemukakan kes di dunia Arab untuk membina sentimen menuntut perubahan yang boleh memanfaatkan gabungan ini dalam pilihan raya umum nanti.

Pada Isnin, 14 Februari lalu, PKR menganjurkan forum membincangkan isu kebangkitan di dunia Arab di sebuah hotel di Ampang.

Dengan kehadiran sederhana, sentimen yang sama dapat diperhatikan pada para hadirin yang sebahagian besarnya ahli dan penyokong parti.

Dua tokoh Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dan Datuk Kamarudin Jaffar dari PAS menghadiri majlis itu sebagai panelis.

Kedua-dua bersetuju tuntutan demokrasi di dunia Arab sebagai sesuatu yang telah lama tertahan dan tidak dapat disekat lagi.

Menurut Kamarudin, kebangkitan semua golongan rakyat tanpa mengira agama di Mesir menunjukkan sokongan meluas ke arah perubahan di negara penting dunia Arab itu.

Anwar, yang menarik audiens dengan jenaka mengaitkan rejim-rejim kuku besi itu dengan pemerintahan BN, membina lagi sentimen menuntut perubahan di negara ini, walaupun dalam kalangan yang kecil di majlis itu.

Kaitan-kaitan yang dibuat oleh Pakatan dalam mengulas protes di Asia Barat dilihat dengan kritikal oleh pemerintah, yang mendakwa gabungan pembangkang itu ingin protes yang serupa tercetus di Malaysia.

Pemimpin-pemimpin Pakatan, walau bagaimanapun, hanya mengulas iktibar yang boleh diambil daripada perkembangan itu dan tidak mendorong ahli dan penyokong melakukan protes.

Walau bagaimanapun, kemunculan tajuk protes antikerajaan di Asia Barat, yang kini berterusan dan semakin menarik perhatian, mampu memberi faedah dalam membina sentimen mahu mengubah pemerintah, seperti yang dilakukan melalui perbincangan seperti forum itu dan laporan serta komentar di media Pakatan.

Memandangkan suasana yang terus panas di Asia Barat kini, peluang untuk Pakatan meneruskan pembinaan momentum menuju Pilihan Raya Umum ke-13 terus cerah, mengambil semangat perubahan yang kini melanda dunia Arab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan