Rabu, 29 Disember 2010

Perlantikan Khusrin Ke Arah Malayan Union?

harakah daily
Parti Islam SeMalaysia PAS berpendapat perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru satu lagi pencabulan terhadap hak negeri yang sepatutnya tidak berlaku dalam semangat federalisme.

Sebelumnya hal ehwal air yang sepatutnya hak negeri sudah dicabul, sekarang perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri pula, kerajaan pusat campur tangan dengan mengenepikan hak negeri

PAS hendak mengingatkan kerajaan pusat, Selangor ada tuannya. Ketuanya Tan Sri Khalid Ibrahim, perlantikan SUK bukan seperti perlantikan Jawatankuasa Kampung Persekutuan (JKKP) hanya dengan tunjuk sahaja, Bukankah kita diajar hendak masuk rumah orang ada adabnya.

Kerajaan Selangor dibentuk dengan mandat rakyat yang sah melalui proses pilihanraya, bukannya dengan kudeta.

Tindakan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara yang melantik tanpa berbincang dengan Menteri Besar seolah-olah negara hendak menuju kepada Malayan Union di mana semua kuasa pusat membolot dan tidak menghormati hak-hak negeri.

Kerajaan pusat mengajar kerajaan negeri supaya tidak mengikut semangat federalisme, nanti senjata makan tuan.

PAS merasa bimbang dengan trend pencabulan hak negeri akan menjejaskan negara di pandangan mata dunia terutama pelabur luar kerana mereka akan memikirkan apa jaminan pelaburan mereka tidak dicabul.

PAS hendak mengigatkan kepada BN, kalau pun hendak merampas Selangor berlawanlah secara anak jantan, bukan sebaliknya.

Selasa, 28 Disember 2010

DHPP Kuala Krau puas hati lawat Kelantan

TEMERLOH, 28 Dis: Lawatan 50 orang ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kuala Krau ke Kelantan yang berakhir semalam disifatkan berjaya dan penting kerana mencelikkan mata dan banyak memberi pengalaman baru kepada mereka.

Timbalan ketuanya, Tan Tong Mon, 50, berkata sepanjang lawatan yang dianjurkan PAS Kawasan Kuala Krau itu mereka telah dilayan dengan baik dan diberi penerangan jelas oleh kerajaan negeri tersebut.

Tambahnya, paling mengkagumkan apabila melawat tokong terbesar di Asia Tenggara di Tumpat yang jelas melambangkan kerajaan PAS tidak mengganggu kebebasan agama lain.

Jelasnya lagi, beliau terharu bagaimana komuniti bukan Melayu boleh hidup aman di tengah-tengah masyarakat besar Melayu tanpa ada adu domba perkauman.

“Lawatan selama tiga hari dua malam ke Kelantan telah meyakinkan kami bahawa kerajaan yang berteraskan Islam boleh menaungi penganut agama lain tanpa gangguan.

“Semasa menjadi tetamu di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, kami telah diberi penerangan jelas oleh Urusetia Penerangan Negeri Kelantan dan DHPP negeri itu yang menyedarkan kami betapa jauhnya daripada gambaran oleh media massa selama ini,”ujarnya.

Menurut Tan, rombongannya telah menaiki sebuah bas sewa dan sebuah kereta dinaiki Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Kerdau Ahmad Mat Yaman, timbalan dan bendaharinya.

Dalam kunjungan tersebut mereka juga dibawa melawat pejabat pentadbiran negeri, pusat perniagaan dan tempat-tempat industri strategik.

“Kami disediakan tempat bermalam di sebuah banglo besar. Dan dalam perjalanan pulang sempat melawat perkampungan komuniti Cina di Kuala Terengganu,” katanya.

Tan juga berharap, PAS Kawasan-Kawasan menggalakkan penyokong bukan Islam melawat Kelantan kerana akan memberi mereka pengalaman dan pengetahuan baru.

Guru mana tak mahu RM500 sebulan

Tawaran Pakatan Rakyat (PR) untuk menaikkan imbuhan sebanyak RM500 kepada warga pendidik merupakan sesuatu yang menarik. Hal ini kerana tawaran tersebut membabitkan kira-kira 400 ribu guru. Sudah pasti sebelum membuat tawaran ini pihak PR telah membuat kajian kerana wang yang diperlukan untuk tujuan tersebut mencecah RM3.2 bilion setahun.

Tawaran ini bolehlah disifatkan sebagai serampang dua mata – politik dan tanggungjawab. Dari sudut politik, seperti yang dinyatakan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo tawaran kenaikan gaji guru sebanyak RM 500 ini boleh mempengaruhi rakyat untuk memberi undi kepada PR.

Menurut Dr Khir, tidak mustahil sebahagian besar mereka akan menilai tawaran tersebut dengan serius. Hal ini kerana kebanyakan guru mempunyai pegangan politik yang agak bebas. Tidak ramai yang membuat keputusan menyokong mana-mana parti politik sejak awal lagi.

Tambahan pula kos sara hidup yang kian meningkat yang diakibat oleh pemotongan subsidi oleh kerajaan. Isu boleh menjadikan sebahagian besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan biar pun Dr Khir mendakwa PR mungkin tidak mampu melaksanakan sepenuhnya. Pada masa yang sama alasan pemotongan subsidi pula sekadar melepas batuk di tangga.

Dari sudut tanggungjawab pula, Ahli Jawatankerja Kerja PAS Pusat, merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan bahawa imbuhan RM500 untuk guru adalah suatu penghargaan kepada warga pendidik dan bukanlah suatu tindakan politik murahan bagi meraih undi mereka pada PRU akan datang.

Pernyataan Dr Dzulkefly ini ada asasnya. Jika imbuhan ini bersandarkan semata-mata kepada politik, PR sepatutnya menawarkan imbuhan yang sama kepada kakitangan kerajaan yang lain. Namun, PR menyedari bahawa bidang perguruan bukanlah suatu kerjaya seperti kerjaya lain. Tugas mendidik adalah tugas membentuk generasi masa depan.

Menurut Dr Dzulkefly lagi, membentuk modal insan tidak akan dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat. Prosesnya memakan masa, wang ringgit dan pengorbanan dan tugas ini terpikul di atas bahu para guru. Hal ini kerana dari gurulah maka lahirnya ahli politik, ulama, jurutera, doktor, kerani, pegawai tentera dan sebagainya.

Jika PR berniat menawarkan imbuhan ini atas dasar politik murahan dan kepentingan peribadi untuk menang PRU, lebih baik tawaran ini diperluaskan kepada semua kakitangan kerajaan, warga emas, penganggur, dan sebagainya.

Oleh sebab itulah pihak lain selain guru ditawarkan imbuhan dalam bentuk lain seperti penghapusan tol, skim warga emas dan lain-lain.

Hakikatnya, kenaikan imbuhan sebanyak RM500 itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan peranan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh guru. Di sekolah, guru bukan sahaja mengajar anak-anak muridnya, malah mereka juga bertindak sebagai pegawai tadbir, kerani, atlit, imam malah kadang kala menjadi tukang kebun.

Namun, oleh sebab tawaran ini datangnya daripada PR, maka tidak dapat tidak akan dipolemikkan oleh ahli-ahli politik. Pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan yang kini diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar melihat tawaran ini dengan serius. Mungkin beliau memandang tawaran ini sebagai sesuatu yang terpencil.

Namun, ingatan Dr Khir bahawa kesilapannya kurang mengambil kira tawaran PR dalam PRU yang lalu menyebabkan Selangor terlepas harus menyedarkan Muhyiddin. Dalam hal ini, bukan soal wang ringgit semata-mata, Muhyiddin mesti melihat permasalahan warga pendidik dalam kerangka yang lebih luas.

Banyak permasalahan dalam bidang pendidikan yang masih belum selesai. Antara isu yang paling besar ialah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), isu kekurangan guru dalam dalam mata pelajaran kritikal, isu pemansuhan peperiksaan utama, isu disiplin pelajar, isu bantuan sekolah agama, isu elaun dan sebagainya.

Namun, walaupun dihimpit dengan pelbagai isu, para guru di Malaysia tidak pula mengadakan demontrasi atau mogok. Mereka tetap meneruskan tugas yang diamanahkan.

Harus diingat, guru juga manusia seperti insan-insan lain. Ada hati dan perasaan. Tidak selamnya kepala mereka boleh dipijak, ditolak ke kiri dan kanan. Diam bukan bererti setuju, tetapi mungkin memberi peluang untuk pihak lain membetulkan kesilapan. Tetapi jika kesilapan itu diulang-ulang, seolah-olah para guru ini seperti robot, anda silap. Kesabaran manusia ada hadnya. Pengorbanan juga ada batasnya.

Jika pengorbanan yang dicurahkan selama ini, tidak pernah dipedulikan. Malah dijadikan kambing hitam pula atas kepincangan sosial masyarakat. Maka, akan sampai ke suatu tahap bahawa ada suatu lagi pilihan yang lebih baik, maka siapakah yang sanggup menolaknya. Mungkin nilai RM500 itu kecil, tetapi bakal membawa perubahan yang besar terhadap masa depan generasi anak-anak kita.

Isnin, 27 Disember 2010

Pelabur kurang: Najib hanya sibuk pertahan kuasa Abdul Aziz Mustafa KUALA LUMPUR, 28 Dis: Ketika para pelabur diingatkan supaya mengurangkan pelaburan ke negara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula sibuk dengan kepentingan sendiri untuk mempertahan kuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. "Syarikat pengurusan dan penasihat kewangan tersohor, Bank of America Merrill Lynch baru-baru ini mengingatkan supaya dikurangkan pelaburan ke negara ini, suatu tanda yang jelas bahawa Najib tidak diyakini sebagai pengurus ekonomi yang boleh diharapkan yang sekaligus menjadi ancaman kepada ekonomi negara. "Tetapi, tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan kerajaan Najib berusaha menangani perkara itu sebaliknya beliau hanya sibuk untuk mempropagandakan konsep 1Malaysia yang dilihat sebagai peniruan konsep One Israel termasuk membawa pemain import ke ke Jabatan Perdana Menteri, antaranya (ketua stesen televisyen Media Prima Berhad milik Umno, Datuk Seri Ahmad) Farid Ridzuan," kata beliau. Najib, kata Mahfuz, ternyata lebih berminat mempertahankan kuasanya dengan memberi tumpuan kepada mempropagandakan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu setelah konsep itu gagal menarik perhatian rakyat. "Sama seperti pelbagai hingar-bingar dan kebisingan Najib dalam bidang ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang gagal menarik minat pakar-pakar ekonomi dan para pelabur dan menyebabkan mereka diingatkan supaya mengurangkan pelaburan, apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu juga gagal menarik perhatian rakyat. "Tindakan mengambil pemain import seperti Farid ke JPM amat jelas membuktikan Najib menggelabah dan Apco Worldwide pula gagal menjalankan kerjanya untuk mempromosikan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu walaupun lebih dari RM70 juta wang rakyat dibazirkan kepada firma milik Yahudi Zionis itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu. Mahfuz bagaimanapun yakin Ahmad Farid tidak akan mampu mencapai keinginan Najib untuk mempropagandakan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu. Konsep tersebut diharapkan oleh Najib dapat membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang akan datang. "1Malaysia yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu bukan TV hiburan yang penuh dengan pelbagai cerita menarik dan persembahan nyanyian yang mudah mengasyikkan orang ramai. "Berapa banyak program yang sudah basi seperti Jom Heboh yang mahu dibuat oleh Ahmad Farid? Adakah setiap malam menjelang pilihan raya akan diisi dengan program Jom 1Malaysia pula? "Benda-benda mengasyikkan seperti itu mungkin menarik minat muda mudi Melayu seperti yang berlaku dalam program-program Jom Heboh. Tetapi kaum lain yang semakin kecewa dengan api perkauman Umno tidak berminat pun dengan hiburan-hiburan seperti itu," katanya. Ketika ditanya tentang desas-desus bahawa pihaknya sedang mempersiapkan pelbagai program untuk menghadapi "kempen cara Ahmad Farid" termasuk menggunakan kepakaran mereka yang pernah berkerja dengan orang kuat TV3 itu, Mahfuz enggan mengulas.

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Ketika para pelabur diingatkan supaya mengurangkan pelaburan ke negara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula sibuk dengan kepentingan sendiri untuk mempertahan kuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Syarikat pengurusan dan penasihat kewangan tersohor, Bank of America Merrill Lynch baru-baru ini mengingatkan supaya dikurangkan pelaburan ke negara ini, suatu tanda yang jelas bahawa Najib tidak diyakini sebagai pengurus ekonomi yang boleh diharapkan yang sekaligus menjadi ancaman kepada ekonomi negara.

"Tetapi, tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan kerajaan Najib berusaha menangani perkara itu sebaliknya beliau hanya sibuk untuk mempropagandakan konsep 1Malaysia yang dilihat sebagai peniruan konsep One Israel termasuk membawa pemain import ke ke Jabatan Perdana Menteri, antaranya (ketua stesen televisyen Media Prima Berhad milik Umno, Datuk Seri Ahmad) Farid Ridzuan," kata beliau.

Najib, kata Mahfuz, ternyata lebih berminat mempertahankan kuasanya dengan memberi tumpuan kepada mempropagandakan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu setelah konsep itu gagal menarik perhatian rakyat.

"Sama seperti pelbagai hingar-bingar dan kebisingan Najib dalam bidang ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang gagal menarik minat pakar-pakar ekonomi dan para pelabur dan menyebabkan mereka diingatkan supaya mengurangkan pelaburan, apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu juga gagal menarik perhatian rakyat.

"Tindakan mengambil pemain import seperti Farid ke JPM amat jelas membuktikan Najib menggelabah dan Apco Worldwide pula gagal menjalankan kerjanya untuk mempromosikan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu walaupun lebih dari RM70 juta wang rakyat dibazirkan kepada firma milik Yahudi Zionis itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz bagaimanapun yakin Ahmad Farid tidak akan mampu mencapai keinginan Najib untuk mempropagandakan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu.

Konsep tersebut diharapkan oleh Najib dapat membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"1Malaysia yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu bukan TV hiburan yang penuh dengan pelbagai cerita menarik dan persembahan nyanyian yang mudah mengasyikkan orang ramai.

"Berapa banyak program yang sudah basi seperti Jom Heboh yang mahu dibuat oleh Ahmad Farid? Adakah setiap malam menjelang pilihan raya akan diisi dengan program Jom 1Malaysia pula?

"Benda-benda mengasyikkan seperti itu mungkin menarik minat muda mudi Melayu seperti yang berlaku dalam program-program Jom Heboh. Tetapi kaum lain yang semakin kecewa dengan api perkauman Umno tidak berminat pun dengan hiburan-hiburan seperti itu," katanya.

Ketika ditanya tentang desas-desus bahawa pihaknya sedang mempersiapkan pelbagai program untuk menghadapi "kempen cara Ahmad Farid" termasuk menggunakan kepakaran mereka yang pernah berkerja dengan orang kuat TV3 itu, Mahfuz enggan mengulas.

Bonus peneroka Felda terlalu kecil

KUALA LUMPUR, 27 Dis: PAS kesal kerana bayaran bonus yang diumumkan oleh kerajaan BN kepada para peneroka Felda di seluruh negara terlalu kecil dan amat tidak sepadan dengan usaha yang dicurahkan oleh mereka, berbanding keuntungan yang diperolehi Felda setiap tahun.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keuntungan besar yang diperolehi oleh Felda sepatutnya diagihkan dengan sewajarnya kepada peneroka, tetapi dengan memberikan bonus yang terlalu kecil kepada peneroka menyebabkan Felda mengautkan keuntungan berkali ganda.

Menurut beliau, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan ia perlu disedari oleh para peneroka sendiri setelah sekian lama mereka diperlakukan sedemikian oleh pihak Felda akibat sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin BN.

Sehubungan itu, beliau menyeru para peneroka di seluruh negara agar bangkit memperjuangkan hak masing-masing yang sepatutnya memperolehi keuntungan lebih besar atau bayaran bonus lebih tinggi dari pihak Felda.

"Sepatutnya keuntungan Felda yang sebegitu besar itu akan dinikmati oleh para peneroka kerana merekalah yang bersusah payah mengusahakan tanaman itu sehingga menyebabkan Felda memperolehi keuntungan besar, tetapi malangnya yang mendapat keuntungan besar bukannya para peneroka, sebaliknya Felda.

"Tambahan pula, para peneroka itu sendiri bukannya menghantar buah kepada pihak lain, tetapi kepada Felda juga. Jadi, kenapa keuntungan yang besar itu hanya dinikmati oleh Felda, manakala peneroka pula diberikan bonus yang terlalu kecil? Inilah yang kita kesalkan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa Felda akan membayar Bonus Insentif Produktiviti kepada peneroka tanah rancangannya di seluruh negara berjumlah RM100,916,600.

Dengan itu, setiap peneroka Felda akan diberikan Bonus Insentif Produktiviti sebanyak RM400.00 (minima) dan sekitar RM1,200.00 (maksima).

Bayaran tersebut diberikan sebagai menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara selain sebagai insentif kerana menghantar hasil melalui Felda.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, beliau turut kesal kerana Kerajaan BN sendiri sehingga kini tidak pernah mengumumkan jumlah keuntungan sebenar Felda kepada rakyat.

"Jadi dengan pengagihan bayaran bonus yang terlalu kecil itu kepada peneroka, ia merupakan satu penindasan kepada para peneroka.

"Itu semua berlaku kerana penyelewengan Felda dan para pemimpin BN. Kalau tidak kerana penyelewengan Felda dan pemimpin BN, para peneroka tidak akan diberikan bonus sekecil itu," katanya kesal.

Ahad, 26 Disember 2010

PROGRAM 100 HARI PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.
Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program berikut:
1. Mereformasikan insititusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.
2. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
3. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
4. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
5. Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.
6. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
7. Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
8. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
9. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.
10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

Ketuanan Melayu: Konsep pendidikan Islam tidak tercapai

Shah Alam 26 Dis: Wajib berlaku reformasi dalam semua hal kehidupan bagi menjayakan transformasi dalam sistem pendidikan demi agama dan negara, tegas Pengerusi Sekretariat Majlis Ulama Asia Tenggara (Shura), Ustaz Abdul Ghani Samsudin.

Menurutnya, isu pendidikan Islam menjadi lebih baik, diakui dan dipertingkatkan pelaksanaannya jika semua ahli politik negara ini cuba dan boleh memahami konsep pendidikan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam wacana bertajuk Transformasi Pendidikan: Realiti, Globalisasi dan Harapan bersama Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat, Dr Mohd Nor Manuty, Timbalan Naib Cancelor HEP Unisel, Prof Madya Dr Zainal Abidin Kidam.

Wacana ini dijalankan sebagai acara pertama dalam Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor dengan kerjasama Lajnah Pendidikan PAS Pusat, di sini bermula semalam hingga petang nanti.

"Bagaimana mungkin konsep pendidikan Islam ini dapat digapai matlamatnya jika kedapatan ramai pemimpin negara yang hanya mengagungkan ketuanan Melayu sahaja.

"Kerana itu, pendidikan Islam hanya akan berjaya bila adanya kepimpinan negara memahami Islam, perundangan dan media Islami yang menaikkan imej tokoh-tokoh yang berkecimpung dalam perjuangan pendidikan Islam.

"Lebih dari itu, transformasi pendidikan Islam hanya akan bermula dan berjaya dengan berlakunya reformasi dalam semua hal terutama politik, perundangan dan kepolisan," tegasnya.

Dalam hal ini, Ustaz Abdul Ghani menarik perhatian hadirin dengan menukilkan sepotong ayat Al-Quran bererti Tidak akan berjaya orang yang mengambil air laut dengan jari tangan terbuka untuk menggapainya ke muka kerana usaha dan impian tidak sama.

Justeru, jelasnya, kesatuan fikir mesti diseimbangkan terlebih dahulu dalam kalangan semua pihak kerana tanpanya, hasrat reformasi pendidikan Islam tidak akan berjaya apatah lagi jika ada yang hanya perjuangkan ketuanan tertentu.

Reformasi umat dan transformasi rakyat terutama dalam bidang politik, tambahnya, bakal menghasilkan kesan positif kepada sistem pendidikan negara.

Negara tidak bankrap laksana tawaran 100 Hari

SEBERANG JAYA, 26 Dis: Negara tidak akan bankrap sekiranya Pakatan Rakyat (PR) melaksanakan apa yang telah dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) ke-2, baru-baru ini.

Begitu juga dengan cadangan untuk memansuhkan tol serta pembayaran kepada para pendidik.

"10 janji yang dinyatakan oleh PR bukannya satu retorik politik. Ia juga bukannya omongan kosong yang akan memufliskan negara. Apa yang kita nyatakan adalah hasil dari perkiraan dan congak yang telah dilakukan oleh kepimpinan sebelum ianya dijadikan sebagai satu matlamat untuk dicapai sekiranya PR berjaya memerintah negara.

“Sepatutnya Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak harus merasa gentar dengan janji yang kita buat sebagai sebuah kerajaan yang akan memerintah negara sekiranya berjaya memenangai pilihan raya umum yang akan datang, " demikian dinyatakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik semasa berucap di pentas Anak Muda Keadilan Pulau Pinang, semalam.

Katanya lagi, dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negara akan muflis sekiranya apa yang dicadangkan oleh PR dalam janji 100 hari itu dilaksanakan juga merupakan lemparan dakwaan yang meleset.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar berkata, negara akan bertambah bankrap sekiranya sokongan terus diberikan kepada BN untuk memerintah negara.

Katanya, dengan kuasa yang ada pada BN maka rasuah akan berleluasa, korup dan penyelewengan akan bertambah parah.

Rakyat, tambahnya akan menjadi mangsa apabila harga barangan dinaikkan hasil dari tindakan pemimpin BN yang tidak cekap mentadbir negara.

"Selama ini pun kita telah merasai bagaimana kenaikan harga barangan keperluan yang memberi kesengsaraan kepada rakyat dalam jangkamasa panjang.

“Sekiranya kita tidak mahu kuasa disalahgunakan oleh BN yang memimpin, maka rakyat mesti yakin dan mengubah sokongan mereka secara drastik kepada PR, " tegasnya lagi.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali.

Sabtu, 25 Disember 2010

Anak: Pemberian bonus Felda tidak adil

KUALA LUMPUR, 26 Dis: Tindakan Felda yang enggan membayar bonus insentif kepada peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka disifatkan sebagai tidak adil.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, tindakan membezakan peneroka yang mengurus kebun sendiri dengan mereka yang mengikuti program tanam semula Felda itu tidak wajar.

Ini kerana peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka juga menghantar hasil mereka ke kilang Felda.

"Saya ingin mempersoal proses pengagihan insentif hasil ini. Memang insentif hasil ini diberi tiap-tiap tahun berdasarkan jumlah tan hasil yang dikeluarkan dan dihantar ke kilang Felda.

"Tetapi yang menjadi persoalan utama ialah insentif itu berdasarkan sama ada mereka mengikut Felda atau pun tidak.

"Sedangkan mereka yang tak ikut Felda pun menghantar hasil ke kilang Felda. Jadi kalau peneroka yang tidak bersama Felda dianaktirikan dalam pemberian insentif itu tidak betul sebab mereka bukan menjual di kilang swasta tapi mereka jual di kilang Felda," kata Mazlan ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka didapati memperoleh hasil yang lebih tinggi daripada mereka yang mengikuti program tanam semula Felda.

"Mereka yang tanam sendiri mendapat perolehan hasil lebih besar daripada yang ikut Felda. Sepatutnya tak timbul diskriminasi samaada ikut Felda atau tidak," katanya.

Perdana Menteri semalam mengumumkan seramai 18,354 peneroka atau 16.29 peratus didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda dan juga kerana hasil mereka kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan.

"Saya lebih gemar menggunakan kaedah pemberian insentif berdasarkan jumlah tan.Kalau jumlah tan mereka tinggi, dapat tinggi dan kalau rendah dapat rendah.

"Saya tak setuju kalau mereka yang tak capai piawaian tak dapat langsung. Peneroka kena dapat hak mereka walaupun sedikit," katanya lagi.

Sementara itu, beliau mempersoal pemberian bonus insentif itu yang tidak jauh berbeza dengan tahun-tahun lepas sedangkan harga komoditi sawit dan getah semakin meningkat.

Menurutnya, pemberian itu haruslah diberi berdasarkan harga komoditi semasa.

Selain itu katanya, pemberian bonus insentif ini katanya tidak lebih dari umpan kepada peneroka Felda pada pilihan raya kecil Dun Tenang akhir Januari ini.

"Pemberian bonus ini bukan berita baru tapi diberiakan setiap tahun iaitu sebelum hari raya dan akhir tahun.

"Jadi kalau ini nak dijadikan umpan pilihan raya di Tenang, ini tidak relevan kerana pemberian ini dibuat setiap tahun," katanya.

Datuk Sri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Felda akan membayar Bonus Insentif Produktiviti kepada peneroka tanah rancangannya di seluruh negara berjumlah RM100,916,600.

Ianya sebagai menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara selain sebagai insentif kerana menghantar hasil melalui Felda.

RM500: Kenapa Muhyiddin takut sangat?

KUALA LUMPUR, 26 Dis: PAS mengingatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar jangan mudah melatah ataupun hanya akan memperlihatkan sikap takut dan gelabah beliau terhadap janji Pakatan Rakyat.

Ketua Penenrangan PAS, Pusat, Idris Ahmad berkata, PAS merasa pelik dengan sikap Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno yang sangat emosi terhadap komitmen Pakatan Rakyat untuk menaikkan RM500 sebulan kepada guru jika Pakatan memerintah negara seperti diumum Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"PAS merasa pelik seorang Timbalan Perdana Menteri mencabar Datuk Seri Anuar Ibrahim menaikkan gaji guru-guru di negeri Pakatan Rakyat.

"Iltizam Pakatan Rakyat kepada guru-guru jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat, bukannya sekarang.

"Kenapa perlu takut dengan janji Pakatan Rakyat? Janganlah buat tuduhan yang tidak menentu," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa tawaran Pakatan Rakyat untuk pendidik itu hanya janji politik dan sukar dilaksana untuk guru sahaja dan memberi alasan dengan mempersoal imbuhan kepada kakitangan awam lain.

Menurut Idris, untuk peringkat awal janji tersebut hanya diberikan kepada guru namun semua kakitangan awam akan diambil perhatian juga selepas ini.

"Pakatan Rakyat mengambil tindakan awal untuk guru-guru sebagai satu penghargaan dan pengorbanan mereka mendidik rakyat di negara ini.

"PAS menasihatkan Tan Sri Muhyiddin dapat turun ke bawah, memerhatikan bagaimana beban guru-guru yang berat, jangan hanya mendesak guru-guru melakukan macam-macam tugas," ujarnya lagi.

Sambil menasihatkan Muhyiddin sabar dan tidak emosi, Idris juga mahu timbalan perdana menteri itu meneliti ayat-ayat yang terkandung dalam buku jingga yang merupakan manifesto Pakatan yang telah diedar di Konvensyen Pakatan Rakyat 19 Disember lalu.

Selaku Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin juga jelasnya tentu lebih arif dalam hal kewangan negara berbanding pendapatan kerajaan negeri yang terlalu kecil.

"Jangan beliau bercakap macam ketua cawangan Umno sahaja.

"Pakatan Rakyat hanya berjanji untuk menaikkan taraf hidup rakyat dan meletakkan rakyat di tempat yang sepatutnya setelah 53 tahun rakyat dipinggirkan.

"Sekarang ini pun dengan kekangan kewangan negeri, Pakatan Rakyat telah membuat yang terbaik untuk rakyat, seperti skim kifalah, air percuma, bantuan pendidikan," katanya