Selasa, 28 Disember 2010

DHPP Kuala Krau puas hati lawat Kelantan

TEMERLOH, 28 Dis: Lawatan 50 orang ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kuala Krau ke Kelantan yang berakhir semalam disifatkan berjaya dan penting kerana mencelikkan mata dan banyak memberi pengalaman baru kepada mereka.

Timbalan ketuanya, Tan Tong Mon, 50, berkata sepanjang lawatan yang dianjurkan PAS Kawasan Kuala Krau itu mereka telah dilayan dengan baik dan diberi penerangan jelas oleh kerajaan negeri tersebut.

Tambahnya, paling mengkagumkan apabila melawat tokong terbesar di Asia Tenggara di Tumpat yang jelas melambangkan kerajaan PAS tidak mengganggu kebebasan agama lain.

Jelasnya lagi, beliau terharu bagaimana komuniti bukan Melayu boleh hidup aman di tengah-tengah masyarakat besar Melayu tanpa ada adu domba perkauman.

“Lawatan selama tiga hari dua malam ke Kelantan telah meyakinkan kami bahawa kerajaan yang berteraskan Islam boleh menaungi penganut agama lain tanpa gangguan.

“Semasa menjadi tetamu di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, kami telah diberi penerangan jelas oleh Urusetia Penerangan Negeri Kelantan dan DHPP negeri itu yang menyedarkan kami betapa jauhnya daripada gambaran oleh media massa selama ini,”ujarnya.

Menurut Tan, rombongannya telah menaiki sebuah bas sewa dan sebuah kereta dinaiki Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Kerdau Ahmad Mat Yaman, timbalan dan bendaharinya.

Dalam kunjungan tersebut mereka juga dibawa melawat pejabat pentadbiran negeri, pusat perniagaan dan tempat-tempat industri strategik.

“Kami disediakan tempat bermalam di sebuah banglo besar. Dan dalam perjalanan pulang sempat melawat perkampungan komuniti Cina di Kuala Terengganu,” katanya.

Tan juga berharap, PAS Kawasan-Kawasan menggalakkan penyokong bukan Islam melawat Kelantan kerana akan memberi mereka pengalaman dan pengetahuan baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan