Khamis, 6 Oktober 2011

Hudud: Najib perlu nilai pandangan Harussani


|

KOTA BHARU, 6 Okt: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata Kelantan wajar dijadikan sebagai model serta makmal ujian perlaksanaan hukum syariah, hudud.

Menurutnya, hasrat kerajaan Kelantan yang murni itu seharusnya tidak dipandang serong oleh semua pihak terutama umat Islam apa lagi kerajaan Persekutuan kerana ianya tuntutan yang wajib dilaksanakan dalam membendung gejala buruk yang berlaku dalam sesebuah negara.

“Setelah ianya berjaya peluang yang sama seharusnya diberikan kepada kerajaan di negeri-negeri lain untuk melaksanakannya,” katanya.

Pada masa yang sama beliau yang mewakili kerajaan Kelantan mengucapkan terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria di atas pandangan yang dikemukakan berhubung perlaksanaan Kanun Syariah Jenayah ll (Hudud) yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan negeri ini.

Amar berkata, pandangan seorang mufti yang berilmu seharusnya dinilai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tuan Razak selaku pemerintah negara.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan mufti berkenaan yang mencadangkan supaya pemerintah sewajarnya memberi laluan kepada kerajaan negeri ini melaksanakan hukum tersebut selepas majlis pertemuan golongan ulama di seluruh negeri dengan Menteri Besar.

“Seharusnya kerajaan Persekutuan menilai serta mengambil kira pandangan dari mereka yang beragama khususnya seorang mufti kerana mereka lebih maklum berhubung soal agama,” ujarnya.

Lagipun, tambah Harussani lagi hukum berkenaan adalah tuntutan Islam yang wajib dilaksanakan oleh pemerintah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan